Saturday, April 4, 2009

Kembara IDZKHM - Bumi Aceh Serambi Mekah
















Disember 2008. Alhamdulillah hasrat ingin menjejaki Bumi Aceh kali kedua (selepas dilanda Tsunami) dimakbulkan Allah tanpa sangat bersusah payah. Rakan-rakan yang saya ajak mudah sahaja bersetuju. Kami menaiki pesawat Fairfly dari LT Bayan Lepas dan mendarat di bumi Banda Aceh Serambi Mekah. Ketibaan kami ditunggu oleh kenalan yang baik iaitu Saudara Ramli yang pernah belajar peringkat Sarjana di USM dan Dr. Suardi yang pernah melanjutkan pengajian perubatannya juga di USM dan Kubang Kerian Kelantan. Kami dilayan cukup istimewa dan sebahagian keperluan kami sepanjang berada di bumi Mekah itu dipenuhi mereka secara bergilir sama ada dari segi penginapan, makanan dan kenderaan.

Maha suci Allah yang sekali lagi memudahkan kembara saya seperti kembara pertama kali ke bumi Aceh ini sebelum Tsunami melanda. Saya menyaksikan dengan mata kepala sendiri kesan-kesan kekuasaan Allah swt. Saya menyaksikan rumah-rumah Allah tetap berdiri kukuh sedang bangunan lain di sekeliling masjid itu menyembah bumi menjadi padang jarak padang tekukur. Saya menyaksikan makam-makam suci para ulamak bumi Serambi Mekah itu tidak terjejas sedikit pun. Saya mengaksikan objek-objek besar beralih tempat belasan kilometer jauhnya.

Sukar untuk saya ceritakan secara terperinci setiap yang saya saksikan dan alami dalam blok terhad ini. InsyaAllah akan saya tuliskan dalam buku yang akan saya namakan "Motivasi Kembara Menjejaki Keagungan Allah" (tajuk sementara). Sehingga bertemu lagi pada pada masa akan datang - InsyaAllah wassalamualaikum warokhmatullohi wabarakatuh.

Thursday, April 2, 2009

KARYA-KARYA KREATIF IDZKHM
























Apa yang dipaparkan pada halaman ini adalah hasil-hasil karya
kreatif yang saya hasilkan sekitar tahun 1977 hingga 1997. Kecuali
novel remaja Tragedi Tanpa Rencana yang saya hasilkan atas permintaan Saudara Ajikik yang bertugas di DBP ketika itu, novel
yang lain saya hasilkan bermula dengan kajian yang agak lama dan getir.

Tragedi Empat Disember yang berlatarbelakangkan tragedi
sebenar meletup dan terhempasnya pesawat MH653 di Tanjung Kupang menuntut saya mengumpul maklumat dan membuat penyelidikan di Gelang Patah Johor.

Catatan Dari Laut bedasarkan pengalaman sebenar sahabat baik
saya Keptan Mohd Suyud Suhaimi yang berkhidmat dengan Syarikat Perkapalan Terbesar di Malaysia iaitu MISC. Kajian perpustakaan mengenai bandar-bandar pelabuhan-pelabuhan besar dunia seperti Bangkok, Kobe, Yokohama, Italy, Sepanyol, Antwerb, Luxemburg, Holland dan banyak lagi bandar pelabuhan yang menjadi latar bagi novel
yang berjaya meraih Hadiah Sayembara Novel Remaja ESSO-GAPENA 1984 itu

Pengalaman paling getir adalah penyelidikan melebihi lima tahun ketika menghasilkan Nostalgia Padang. Selain latar tempata di Malaysia, Nostalgia Padang juga mengambil latar luar negara seperti Singapura, Indonesia, India, Afrika Selatan dan Arab Saudi. Penulisan novel ini juga mengambil masa yang agak penjang kerana ianya saya kerjakan secara sambilan kerana tugas hakiki ketika itu adalah mengajar.

Alhamdulillah segala susah payah itu Allah balas dengan ganjaran lumayan melalui keberhasilan novel ini meraih tiga hadiah peringkat negeri dan kebangsaan. Ketika masih dalam bentuk manuskrip, novel ini meraih Hadiah Kedua Hadiah Novel Nasional Sako 1 (1995), kemudian NP meraih Hadiah Kategori Novel Dewasa Hadiah Sastera Johor Darul Taazim 1996 dan meraih Hadiah Sastera Malaysia kategori Novel 1997.

Sayangnya novel ini kurang publisiti dan sukar ditemui dalam pasaran. Rakan-rakan yang berusaha hendak mendapatkan novel ini di awal penerbitannya pun terpaksa menggunakan khidmat pesanan khas melalui toko-toko buku. Saya sendiri terpaksa membuat pesanan terus ke Bahagian Pemasaran UP&D. Ada ketikanya saya terpaksa pergi sendiri ke Pejabat UP&D di Shermelin Perkasa Kuala Lumpur untuk membeli buku ini

Wednesday, April 1, 2009

HARI GRADUASI IJAZAH PERTAMA - 1987

Selepas SPM saya tidak meneruskan pelajaran ke Tingkatan 6 kerana mahu segera kerja supaya dapat membantu ibu dan keluarga. Pada usia 18 tahun saya diterima masuk ke Maktab Perguruan Teknik Kuala Lumpur dengan penghususan Sijil Perguruan Awal Remaja Seni Perusahaan. Rakan-rakan sama kursus pada masa itu Nordin Kardi (Dato' - Naib Censelor UUM) dan Manggar Hanif (Datuk - usahawan berjaya dan pengasas Produk Orang Kampung). Ismail Kadir (DO Ledang) junior setahun.

Bersama-sama rakan-rakan sekolej Sdr. Bahri Ghani, Abdullah Hasan, Hamdan NS, Razali Melaka dan Muhamad Kedah kami menjalani First Teaching Practise di Kajang High School. Ketika itu bandar Kajang masih macam Pekan Cowboy. Kenderaan tidak berapa banyak. Kami menyewa Barek Kuaters Keretapi Tanah Melayu berhampiran Stesen Keretapi Kajang. Makan minum kami langan pada jiran yang kami panggil Mak Andak. Suaminya bekerja di ibu pejabat KTM di Kuala Lumpur. Mak Andak orang Nogori yang selalu senyum dan ramah. Kami ke sekolah jalan kaki saja hampir 2 kilometer. Sekali sekala sahaja terutama bila cuaca sangat panas atau mendung hendak hujan kami dapat tumpang kereta guru senior yang baik hati.

Masuk tahun kedua di MPT kami dibenarkan duduk luar dengan elaun maktab RM150 (ketika duduk di asrama MPT selalunya duit poket yang kami terima sekitar RM30 sebulan yang perlu diambil di kaunter Bank di Jalan Pudu tidak jauh dari Penjara Pudu. Untuk mengambil elaun kami kena naik bas Tong Fong warna hijau tua putih yang bergegar kuat enjinya serta sentiasa pada penumpangnya.

Saya bersama Saudara Salleh Tahar, Sdr. Bahadon (Kedah). Sdr. Osman Terengganu dapat menyewa rumah kayu milik Haji Sukaimi di Kampung Semerah padi. Ketika itu saya berkawan rapat dengan Sdr Suyud anak Haji Sukaimi yang menuntut di UTM Jalan Gurney KL.

Tamat pengajian 3 tahun (1975) di MPT saya menerima surat posting ke SMK Lubuk Cina Melaka sementara Manggar Hanif dapat SMK Tun Mamat. Kami tukar suka sama suka. Beberapa bulan sahaja di Tun Mamat saya dapat tukar ke SMK Tengku Mahkota. Saya ambil peperiksaan STP cara persendirian dan hanya pada tahun 1984 baru berpeluang melanjutkan pelajaran ke UPM Sedang dan hanya pada usia 33 tahun Allah izinkan saya menerima Ijazah Bacelor Pendidikan (PBMP) daripada Censelor Universiti Putera Malaysia dengan GPA 3.65
Alhamdulillah dengan keputusan itu saya hanya perlu membayar 20% sahaja daripada pinjaman Yayasan Pelajaran Johor.

Tuesday, March 31, 2009

kembara menjana minda...

Assalamualaikum....
Terlebih dahulu syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dikurniakan kesihatan yang baik sehingga ke hari ini. Mengembara memang sangat menyeronokkan. Selain dapat menjana minda, kita juga dapat sama-sama mengahayati keindahan alam di sekeliling kita serta menambahkan kecintaan kita kepada Allah S.W.T. Dalam blog yang akan datang, saya akan menceritakan pengalaman kembara saya yang pasti akan membuat semua terfikir betapa agungnya kekuasaan Allah S.W.T... Sampai di sini dulu untuk hari ini... Sehingga bertemu lagi di blog yang akan datang. Wassalam...